FAKTOR KRISIS MAKANAN GLOBAL
Sejarah konflik manusia dengan makanan sudah bermula sejak sirah kerasulan Islam. Ketika Ibrahim menunjukkan tanda pengorbanan Ismail untuk disembelih , Tuhan hantarkan kibas sebagai pengganti sebagai simboliknya makanan setaraf keperluan asas untuk kemandirian manusia. Tanpa makanan, krisis makanan pertama dunia moden berlaku pada 1770 di Bengali (Bengal Famine) telah merekodkan 10 juta kematian.
Kesusasteraaan moden juga memanifestasikan catatan krisis makanan. Bagi Gen Y di Malaysia, pasti ramai yang mesra dengan Novel Potato People karya Angela Wright – tentang kebuluran yang berlaku di Irish berdasarkan sejarah sebenar.
Punca Krisis Makanan Pasca COVID-19
Apa yang berlaku hari ini? Bagaimana saluran bekalan moden dan kemajuan manusia masih tidak lagi mampu menyelesaikan keperluan asas sehingga menekan pelbagai peringkat masyarakat?
Faktor Persekitaran Ekonomi
Tercetusnya konflik perperangan antara Russia dan Ukraine adalah satu milestone penting kepada susur galur cerita inflasi dan krisis bekalan makanan terkini. Bekalan gandum menjejaskan rantai bekalan melibatkan ayam mentah. Kekurangan sambutan makanan dari binatang ternakan menyebabkan substitute goods makanan yang lain naik harga. Semua ini konsep asas ekonomi yang berkait rapat dengan keluk permintaan dan tawaran, berkitar dari ketamakan kuasa dan nafsu pertempuran manusia. Perubahan Iklim turut menjejaskan atmosfera pertanian seluruh negara seperti dilaporkan Panel Perubahan Iklim Antara Kerajaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (IPCC).
Pemberhentian Eksport Dan Gangguan Rantaian Bekalan
Disebabkan masalah yang berlaku di Russia-Ukraine, pembekal gandum gergasi di India juga merasakan ini kesempatan untuk petani di sana mengeksport gandum dengan harga yang lebih tinggi. Maka kerajaan India yang menyedari kekurangan bekalan gandum terus menghalang dalam satu tempoh, demi memenuhi keperluan dalaman. Sekali lagi menekan bekalan rantaian di atas.
Tambahan lagi, ketika Indonesia menghentikan eksport minyak sawit, harga barangan mentah dan kos pemprosesan meningkat disebabkan kebergantungan Malaysia mengeluarkan minyak sawit berkualiti tinggi kepada bekalan dunia. Kesedaran kos sebegini memberi ruang kepada perubahan struktur modal dan perbelanjaan pengusaha, peniaga, dan pemborong barangan makanan.
Langkah Malaysia Menangani Krisis Makanan dan Tekanan Sara Hidup
Apa yang Malaysia lakukan sebagai sebuah kerajaan untuk mengawal tekanan sebegini? Pengenalan subsidi, kawalan harga terhadap barang makanan adalah langkah tepat selaras dengan tanggungjawab dan akauntabiliti sebuah kuasa kerajaan.
Pembatalan Approved Permit (AP) untuk mengeksport barangan makanan juga adalah langkah reflektif yang dapat menstabilkan bekalan, sekaligus harga disebabkan tawaran dalaman dapat ditingkatkan seperti yang dilakukan YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob. Ketika Singapura terpaksa menghadapi catuan import, kerajaan memilih kebajikan dalaman berbanding keuntungan ekonomi khusus dalam bekalan ayam. Harga ayam kini kembali surut kearah stabil.
Malaysia bukan negara miskin sehingga mencetuskan kebuluran berskala besar. Bagaimanapun, DSIS telah merangka dan melaksana pelan jangka masa pendek, sederhana, dan panjang untuk menghadapi kenaikan harga makanan dunia melebihi 30% sekaligus meningkatkan kadar inflasi.
Perdana Menteri juga memperkenalkan bantuan kewangan secara terus kepada rakyat terutamanya golongan B40 mulai 1 Julai ini, mewujudkan Tabung Agromakanan dengan dana berjumlah RM500 juta melalui pemberian pinjaman mudah kepada pemain-pemain industri agromakanan dan mewujudkan stok penimbal untuk ayam, daging dan ikan bagi memastikan bekalan makanan mencukupi. Lima langkah jangka pendek itu merupakan pendekatan kerajaan dalam melindungi seluruh Keluarga Malaysia daripada beban kenaikan harga barangan, selain pelbagai subsidi yang dijangka mencecah RM71 bilion tahun ini.
Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia pada bulan lepas, melibatkan 80 lokaliti bandar dan luar bandar termasuk perkampungan Orang Asli bagi membawa mereka keluar dari kepompong kemiskinan yang sudah semestinya antara golongan yang terkesan dengan kenaikan harga makanan.
Kegusaran Negara Maju dan Membangun dalam Ketidaktentuan Ekonomi
Laporan Bloomberg pada 10 Jun menyatakan bahawa lebih dari separuh rakyat Singapura menyatakan rasa tidak puas hati dengan kaedah kerajaan mereka menghadapi inflasi. Di Amerika Syarikat, Joe Biden telah membekukan bayaran semula pembiayaan Pendidikan untuk mengurangkan tekanan kos sara hidup. Justin Trudeau juga telah memperkenalkan jeda pembekuan cukai sementara di Kanda untuk memudahkan pembelian rumah pertama bagi rakyat mereka dalam ketidaktentuan ekonomi ini.
Argentina dengan kenaikan inflasi sebanyak 58% pada bulan April telah menggagalkan kepimpinan kerajaan Presiden Alberto Fernandez. China pula masih lagi kabur dengan ketidaktentuan lockdown untuk membanteras saki baki COVID-19. Ketika gangguan agihan industri hiliran untuk bekalan makanan dan bahan mentah pembuatan berlaku, China juga tidak jelas dengan sebarang kemungkinan pada masa akan datang di sebalik kekuatan ekonomi. Hal yang sama juga berlaku di Korea Selatan dan Jepun sehingga kerajaan di sana memperkenalkan subsidi petrol dan penstrukturan semula cukai.
Langit Tidak Selamanya Mendung
Terkini, Indonesia terpaksa menghentikan pengeluaran bekalan produk kelapa sawit yang menyebabkan limpahan permintaan kepada produk tersebut di negara pengeluar lain. Natijahnya, Peneroka Felda Malaysia menikmati rezeki tambahan sehinggakan harga tandan kelapa sawit matang mencecah RM 1400 per tan dengan purata hasil 6-10 tan per bulan bagi setiap pengusaha. Begitu fleksibel konsep K-ekonomi dan dinamiknya perubahan struktur ekonomi yang berlaku dengan pantas tahun ini.
Di Malaysia, kita jelas dengan pembukaan semula ekonomi. Tiada lagi lockdown pada masa akan datang. Semalam, kes kematian dari COVID-19 kembali sifar. Subsidi diperkenal untuk mengurangkan beban tekanan sara hidup. Kerajaan pantas mengekang monopoli kekayaan pembekal dengan menghapuskan AP Eksport untuk ayam. Pengenalan harga siling apungan juga telah dipertimbang kerajaan pimpinan YAB Perdana Menteri.
Sebahagian besar penduduk Lembah Klang juga menerima alas sementara dengan pengenalan lingkaran aliran ringan percuma dalam tempoh satu bulan – satu-satunya negara yang mengumumkan inisiatif serupa ketika ini.
Dalam detik sukar ketidaktentuan ekonomi dan usikan manja pentas politik negara, semangat ‘Ismail’ dalam pengorbanan dahulu dibawa kembali seorang Perdana Menteri, untuk memastikan tidak ada satu nyawa pun terkorban dalam perperangan kita dengan kitaran nota dan angka. Seluruh dunia sedang menghadapi tekanan ini, dan sejahteralah Malaysia tatkala kita berada di tangan yang selamat.

Comments
Post a Comment