PERLEMBAGAAN NEGARA: KUASA AGONG BUBAR PARLIMEN JELAS DALAM PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN



Perlembagaan Persekutuan jelas memperuntukkan kuasa membubarkan Parlimen terletak atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong, bukan di tangan Perdana Menteri. 


Ramai pihak terkeliru dan masih tidak faham tentang had kuasa Perdana Menteri dan Perlembagaan Persekutuan. 


Dalam Perlembagaan (Persekutuan) Artikel 40 ialah kuasa Kabinet untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong dan dalam artikel itu juga menyatakan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong untuk boleh tidak membubarkan Parlimen. 


Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa sama ada untuk menangguh atau membubarkan Parlimen.


Peguambela dan peguamcara, Datuk Setia Salehuddin Saidin berkata bidang kuasa tersebut termaktub di bawah Perkara 55 Fasal (2) Perlembagaan Persekutuan.


UMNO atau Barisan Nasional boleh buat cadangan untuk bubarkan Parlimen kepada Agong. Walaupun Kabinet setuju untuk bubarkannya tapi ini adalah satu kuasa mutlak Agong.


Mengikut prosedur Perdana Menteri perlu membawa dalam mesyuarat Kabinet berhubung pembubaran Parlimen dan apabila dipersetujui baharu ia dibawa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan Seri Paduka.


Inilah kuasa Agong, kita tidak boleh mendahului kuasa Agong kerana ia kuasa mutlak Agong. 


Kita jangan sesekali membelakangkan hak untuk membubarkan Parlimen kerana ia adalah kuasa Yang di-Pertua Agong. Pada masa sama, apa jua keputusan Baginda, datang bersama nasihat daripada Perdana Menteri. 


Jangan ada pihak yang cuba menangguk di air keruh dan perlu mengetahui kedudukan parti dan kuasa Perdana Menteri untuk menentukan tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).


Jangan terlanjur dalam kita nak pastikan sesuatu. Kita semua kena tahu kedudukan masing-masing, kedudukan parti, kedudukan Perdana Menteri (PM) dan juga tanggungjawab serta kuasa Yang di-Pertuan Agong


SIAPA yang ada kuasa politik untuk membubarkan Parlimen Malaysia ke-14?


Adakah Presiden UMNO atau Perhimpunan Agung UMNO ada kuasa itu?


Jawapannya tidak. Sekurang-kurangnya kerana dua sebab. Pertama, Kerajaan Persekutuan sekarang bukan kerajaan mutlak UMNO, walaupun Perdana Menteri daripada UMNO.


Kedua, Kerajaan Persekutuan sekarang adalah sebuah kerajaan campuran. Ahli Parlimen UMNO sekitar 40 orang sahaja. Manakala Perikatan Nasional (PN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan lain-lain mempunyai Ahli Parlimen yang lebih ramai, melebihi 70 orang.


Jadi soal pembubaran Parlimen perlu dibincang dalam Kabinet bukan di dalam Perhimpunan Agung UMNO.


Adakah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ada kuasa untuk bubarkan Parlimen pada bila-bila masa?


Jawapannya beliau tidak ada kuasa demikian. Tangan Perdana Menteri terikat dengan Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Pakatan Harapan yang menyatakan bahawa Parlimen Malaysia ke-14 tidak akan dibubarkan sebelum 31 Julai 2022.


Apa maknanya jika Perdana Menteri tunduk kepada Presiden UMNO atau Perhimpunan Agung UMNO lalu membubarkan Parlimen sebelum 31 Julai 2022?


Ia membawa makna Perdana Menteri memungkiri perjanjianya dengan Pakatan Harapan yang telah ditandatangani pada 13 September 2021.


Manakala Yang di-Pertuan Agong dalam Titah Dirajanya dalam Majlis pembukaan Parlimen pada 28 Februari 2022 lalu telah memuji MoU yang ditandatangani oleh kerajaan dengan parti pembangkang kerana telah membawa kestabilan politik negara.


Bagaimanapun, tidak dinafikan UMNO BN dan Perdana Menteri dalam segi-segi tertentu masih ada kuasa politik, walaupun terbatas untuk menentukan bilakah Parlimen Malaysia ke-14 hendak dibubarkan.


Namun pihak yang benar-benar ada kuasa hampir mutlak untuk memutuskan sama ada bersetuju Parlimen dibubarkan atau tidak ialah Yang di-Pertuan Agong, seperti yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.


Walaupun Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikuti nasihat Perdana Menteri di bawah Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan, tetapi di bawah Perkara 40(2)(b) dinyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsinya untuk tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen.


Ertinya Yang di-Pertuan Agong ada kuasa budi bicara dalam soal pembubaran Parlimen.

Comments

Popular posts from this blog

Kadir Jasin, Let's Speak and Allow Bahasa Melayu to be Respectfully Understood

SETAHUN BERSAMA ISMAIL SABRI

Ismail Sabri Score Goal Raya